SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sudah menitahkan penggantungan keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) dengan gelaran Datuk Seri yang disandang bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo.
Katanya, turut dikenakan tindakan sama ialah Pengarah Ditamas Sdn Bhd (Ditamas), Shamsuddin Haryoni yang menerima darjah kebesaran Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada 2002.
“Sultan Selangor berkenan membuat keputusan itu selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor pada persidangan kali ke-129, Selasa lalu.
"Baginda membuat keputusan ini selepas mempertimbangkan kesalahan yang dituduh terhadap mereka adalah serius kerana membabitkan kepentingan rakyat dan negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, semalam.
Mohd Khusrin berkata, tindakan ke atas Dr Mohamad Khir diambil berikutan pertuduhan dihadapinya mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, manakala Shamsuddin pula dituduh mengikut Seksyen 165 dan Seksyen 109 kanun sama di mahkamah sama.
Kelmarin, Dr Mohamad Khir yang sebelum ini melepaskan jawatan Ketua Pembangkang Selangor berkata Dewan Diraja Selangor berkenan menerima pemulangan pingat darjah kebesaran SPMS.
Katanya, beliau menghantar surat kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memulangkan sementara pingat berkenaan pada pertengahan bulan lalu.
Dr Mohamad Khir sebelum ini didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Datin Seri Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah di Nombor 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada Ditamas melalui Shamsuddin.
Hartanah itu yang terletak di Seksyen 7 di sini diperoleh dengan harga RM3.5 juta, sedangkan ia dibeli Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan dalam keadaan Dr Mohamad Khir mengetahui bahawa Shamsuddin mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor di Jalan Permata 7/1, Seksyen 7 di sini pada 29 Mei 2007.
Shamsuddin pula didakwa bersubahat dengan bekas Menteri Besar itu untuk melakukan kesalahan berkenaan di tempat dan masa sama.
Pada 6 Januari lalu, Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga minggu bermula 6 hingga 24 Jun ini
No comments:
Post a Comment