Wednesday, March 30, 2011

Tarian poco-poco haram?

 

26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib.

Barangkali ramai peminat tarian poco-poco di negara ini terkejut apabila mengetahui tarian yang berasal dari negara seberang ini adalah haram. Tarian ini sangat popular di negara kita pada masa kini.

Ia bukan sahaja dilakukan oleh orang kebanyakan malah oleh golongan atasan dalam pelbagai bentuk majlis keraian. Jabatan kerajaan juga tidak ketinggalan mengadakan tarian poco-poco sebagai menggantikan senaman pagi untuk peserta kursus.

Namun dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak kali ke-186 yang diadakan pada 24 hingga 26 Januari 2011 lalu memutuskan bahawa tarian atau senaman poco-poco diharamkan. Surat berkenaan ditandatangani Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria.

Asas pengharaman kerana ia mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama, juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ia sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian. Mesyuarat tersebut juga telah mengambil keputusan bahawa pengharaman tersebut akan diwartakan.

Langkah tarian ini, ke depan, ke belakang, ke kiri dan ke kanan dikatakan menyerupai bentuk salib. Sinar Harian cuba mendapatkan komen atau pendapat daripada tokoh agama berkenaan pengharaman tarian poco-poco ini

Adun DAP gesa sedia peruntukan besar untuk SAR



26 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM, 30 Mac: Adun Sekinchan, Ng Swee Lim menggesa Kerajaan Negeri Selangor memberikan peruntukan besar kepada semua Sekolah Agama Rakyat (SAR).

Wakil rakyat DAP itu membuat gesaan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali.

Menurut Swee Lim, memandangkan keadaan SAR ini agak ketinggalan, dengan kewangan yang disalurkan dalam jumlah besar itu membolehkan mereka menambahbaikkan bangunan dan persekitaran sekolah agar lebih selesa.

Hari ini masuk hari kedua persidangan Dun Selangor untuk penggal pertama sidang kedua belas yang dirasmikan Sultan Selangor pada 28 Mac lalu dan sesi sidang pula bermula semalam sehingga 5 April depan.

Dr Halimah di dalam jawapannya, menyatakan ucapan terima kasih di atas perhatian tinggi Adun Sekinchan itu meskipun bukan beragama Islam tetapi tetap prihatin dengan perihal SAR berbanding dengan pembangkang yang bersikap sebaliknya.

Terdahulu, ketika menjawab soalan asal, Dr Halimah berkata, sebanyak 769 Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mendapat bantuan pendidikan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

Semua bantuan itu, jelasnya, berjumlah RM32 juta bagi tahun 2009 dan 2010 dalam usaha mencapai matlamat kerajaan memperkasakan pendidikan di negeri ini sebagai Hub Pendidikan dan Hub Ilmuan.

"Sebanyak 820 permohonan dibuat 2009 dan 2010 dengan 769 permohonan diluluskan sebanyak 320 sekolah bagi 2009 manakala 449 sekolah untuk 2010 dengan pecahan mengikut sekolah adalah 160 buah bagi SAR, 77 (SJKC), 97 (SJKT) bagi 2009 manakala bagi 2010 adalah sebanyak 252 (SAR), 100 (SJKC) dan 97 (SJKT).

"Jumlah permohonan 2010 meningkat berbanding 2009 iaitu sebanyak 134 permohonan dan jumlah permohonan yang diluluskan juga meningkat sebanyak 129 permohonan.

"Bagi SJKC dan SJKT permohonan yang dibuat dapat diproses dengan baik tanpa ragu-ragu kerana sekolah yang membuat permohonan adalah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, namun berbeza dengan SAR yang tidak berdaftar dengan mana-mana pihak sama ada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) atau Kementerian Pelajaran," tegasnya.

Tambahnya, program bantuan agihan pendidikan sekolah-sekolah ini adalah merupakan di antara langkah-langkah diambil kerajaan negeri bagi memantapkan visi pendidikan untuk menjadikan Selangor sebagai Hub Ilmuwan dan Hub Pendidikan.

"Bagi mencapai matlamat itu, kerajaan negeri memberikan perhatian kepada beberapa perkara seperti keadaan infrastruktur dan kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, kemahiran peningkatan pengajaran dan pembelajaran di kalangan guru-guru sekolah, kualiti para pelajar terutama dari aspek akademik dan sahsiah serta kelicinan dan pengurusan sekolah yang sistematik dan efektif.

"Selain bantuan pendidikan itu, katanya, kerajaan negeri turut memberi latihan kursus perguruan kepada guru-guru SAR di mana guru-guru itu tidak pernah diberi kursus dan pihak sekolah juga tidak ada dana yang mencukupi untuk tujuan itu," jelasnya lagi.

Dalam pada itu, ujarnya, kerajaan negeri melalui Yayasan Selangor (YS) turut mewujudkan dermasiswa dan meluluskan pembinaaan Tadika Rakyat di negeri Selangor pada 2009.

Dr Halimah berharap Kerajaan Negeri Selangor akan mendapat sumber rezeki kewangan yang lebih di masa akan datang untuk memberikan lebih manfaat besar kepada rakyat negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

Katanya, beliau sendiri secara peribadi ingin melihat SAR yang berjumlah 500 buah itu akan dapat dibantu dalam usaha kerajaan mencapai matlamat yang diidamkan oleh kerajaan negeri, selama ini yang inginkan Selangor menjadi Hub Ilmu Hub Pendidikan.

Sunday, March 6, 2011

Kedah mula hantar pulang pelajar Mesir

 

 
02 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

ALOR SETAR, 7 Mac: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berpuas hati dengan proses penghantaran pulang pelajar Kedah ke negara Mesir yang di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Ustaz Azizan telah bersama-sama dengan pelajar dan keluarga masing-masing di depan Wisma Darul Aman untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama pelajar ke Mesir kelmarin.

“Setakat hari pertama proses penghantaran pelajar, saya berpuas hati kerana tidak ada yang tercicir dan saya harap perjalanan tidak tergendala,” katanya.

“Ada pelajar yang tidak sedar pasport mereka tamat tempoh, disebabkan itu kita ambil masa untuk memperbaharui pasport dan mohon visa. Mereka yang lewat memperoleh visa akan menaiki penerbangan akhir, bagaimana pun semuanya kini dalam proses dan tidak akan jejaskan perancangan asal,” katanya.

Turut hadir untuk meninjau pelepasan kumpulan pertama itu ialah Exco Agama, Pelajaran Dan Koperasi, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul.

Menurutnya, Yayasan Islam Negeri Kedah sedang memantau dan menguruskan segala persiapan dan proses penghantaran bermula dari Wisma Darul Aman hingga ke KLIA, dan seterusnya tiba ke Mesir.

Kerajaan Negeri Kedah telah menyewa 3 buah kapal terbang Egypt Air untuk proses menghantar pulang 835 pelajar Kedah ke Mesir serta memberikan wang saku RM500 setiap pelajar.

Kumpulan pertama yang dilepaskan ialah seramai 235 pelajar serta 9 pegawai bertolak dari Alor Setar ke KLIA dengan enam buah bas yang disediakan.

Penerbangan kedua akan dilepaskan pada 8 Mac dan penerbangan seterusnya 10 Mac.

Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan kira-kira RM2.5 juta dalam projek penghantaan pelajar Kedah kembali ke Mesir dan projek ini di uruskan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairul Izwan.

Fitnah: Tuan Ibrahim akan saman Utusan, TV3

 

01 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 6 Mac: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man akan memfailkan saman terhadap akhbar Utusan Malaysia dan TV3 kerana didakwa memfitnah beliau membeli tanah peneroka Felda yang sebenarnya dibeli oleh pihak lain.

Berdasarkan laporan blog-blog Umno, semalam Utusan menyiarkan tiga artikel berturut-turut yang menuduh Tuan Ibrahim mengambil kesempatan daripada peneroka tanah rancangan yang kesempitan hidup dengan membeli tanah mereka.

Malah Utusan turut menuduh disebabkan pembelian tersebut, tuan tanah asal tersebut kini hidup dalam serba kedaifan.

Pertuduhan terhadap Tuan Ibrahim turut laporan Buletin Utama di TV3 pada sebelah malamnya walaupun selepas pembeli sebenar tanah tersebut, Ibrahim Osman dalam satu sidang akhbar di markas induk PAS Kerdau menafikan perkara tersebut.

"Saya sangat dukacita dengan tuduhan itu kerana hasrat beliau untuk membantu saya dan peneroka berkenaan telah bertukar menjadi satu fitnah terhadap beliau.

"Hasil dari jualan tanah Felda tersebut, peneroka berkenaan telah berjaya membangunkan 15 ekar ladang sawit dan juga ternakan kambing dan lembu, bukannya menjadi dhaif sebagaimana didakwa," kata Ibrahim Osman dalam sidang media khas di Markas PAS Kerdau lewat petang semalam.

"Sebenarnya apa yang berlaku adalah, seorang peneroka Felda telah mengiklan di merata-rata tempat mahu menjual tanahnya. Beliau juga telah menemui saya dan meminta saya membelinya.

"Memandangkan saya tidak ada duit, saya telah bertanya kepada Datuk Tuan Ibrahim untuk membantu saya. Dia bersetuju meminjamkan dahulu duit kepada saya dan sebagai jaminan terhadap pinjaman tersebut saya bersetuju menggunakan nama isteri beliau sementara saya
menjelaskan kesemua pinjaman itu.

"Apabila saya mempunyai duit, saya telah mengambilalih tanah itu dan menggunakannya untuk dicagarkannya kepada pihak Mara atas nama syarikat saya, Syarikat Pintar Kesuma Sdn Bhd,” katanya sambil menambah bahawa soal Datuk Tuan Ibrahim membeli tanah Felda sehingga menganiaya peneroka Felda tidak berbangkit sama sekali dan satu dakwaan dan tuduhan yang tidak benar.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang dalam sidang media itu berkata, beliau tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan isu ini dan hanya membantu meminjamkan wang kepada Ibrahim sahaja.

"Media dan Umno hanya cuba mengalih isu sebenar di Kerdau iaitu masalah hutang kerajaan negeri dengan membangkitkan perkara yang tidak benar ini," katanya.

Harakahdaily difahamkan Tuan Ibrahim akan memfailkan saman terhadap Utusan Malaysia dan TV3 dalam masa terdekat

Tuesday, March 1, 2011

Yuhaizad: Buktikan kuarters sekolah milik Umno

 
26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Calon PAS bagi DUN Merlimau, Yuhaizad Abdullah mencabar Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya membuktikan bahawa kuarters sekolah yang didiaminya bersama isterinya yang merupakan seorang guru, adalah milik Umno.
Yuhaizad membuat cabaran tersebut sebagai menjawab kenyataan Muhyiddin yang menyifatkan calon PAS itu sebagai tidak mengenang budi kerana tinggal di kuarters sekolah bersama isterinya itu, tetapi bertanding sebagai calon PAs.

"Saya mencabar Umno dan beliau (Muhyiddin) untuk buktikan kompleks (kuarters itu) dibina oleh Umno," katanya dalam satu sidang akhbar bersama di pusat operasi pilihan raya DAP, dekat pekan Merlimau.

Katanya, jika Umno dan Muhyiddin dapat membuktikan sedemikian, beliau akan berpindah malam ini.

Jika tidak, kata Yuhaizad berkata, beliau akan terus tinggal di situ bersama isterinya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap keluarganya.

Semalam, Muhyiddin menyuarakan rasa kecewanya terhadap Yuhaizad dan keluarganya yang tinggal di kuarters sekolah tetapi bertanding sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil Merlimau.

Saman ekor: Ketahui hak anda

 

 


26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)