Tuesday, June 14, 2011

Umno benci nama Islam tapi mahu negara Islam?

 

 

12 Rejab 1432H. [MOD] -

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr Mohd. Puad Zarkashi kelmarin mencabar PAS menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu bagi menjaga hubungannya dengan parti pembangkang yang lain. Terfikir juga dibenak hati ini mengapa terlalu bencinya pemimpin Umno ini kepada nama `Islam'.

Pemimpin Umno semenjak dahulu hingga kini masih gagal mengemukakan hujah apakah kesalahan PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut. Kita tahu di zaman Tun Dr Mahathir menjadi PM, sudah ada usaha untuk mengharamkan nama `Islam' di dalam parti. Alhamdulillah, ketika itu Majlis Fatwa tegas menyebut bahawa tiada salahnya nama `Islam' dimartabatkan.

Sekiranya Umno yang memartabatkan nama bangsa Melayu dan semangat kebangsaannya di dalam parti mereka, apakah dosa besar bagi PAS untuk memartabatkan nama `Islam'? Jika mahu disebut dengan hujah betapa Umno lah sebenarnya `menjual' nama bangsa di dalam parti berkenaan, tidak cukup halaman untuk kita membuktikannya. Paling mudah, Dasar Ekonomi Baru (DEB) ternyata gagal mengangkat bangsa Melayu walaupun telah berpuluh tahun ianya dilaksanakan sehingga dasar tersebut tenggelam begitu sahaja.

Di mana salahnya PAS di dalam menggunakan nama `Islam' di dalam parti tersebut? Adakah PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam? Adakah PAS merestui amalan rasuah dengan melantik kaki rasuah menjadi Ketua Menteri/MB Negeri atau Ketua Pemuda? Mungkin Ali Rustam dan KJ boleh menjawab hujah ini. Adakah PAS juga memilih kaki rasuah sebagai Wakil Rakyat? Mungkin Isa Samad tahu hal ini. Pernahkah PAS bercita-cita untuk meluluskan judi bola sepak Piala Dunia? Atau, pemimpin PAS terlibat dengan tragedi pembunuhan Altantuya? Mungkin Najib boleh terangkan jawapannya.

Pernahkan PAS merestui akta zalim Akta ISA yang diharamkan oleh Islam itu? Cuba buktikan siapa pemimpin PAS yang tidak bermoral dan isterinya tidak menutup aurat? Hal ini boleh ditanya kepada Najib dan Rosmah atau pun Shahrizat Jalil. Cuba pemimpin Umno berani sedikit untuk berhujah bagi menyatakan betapa PAS perlu membuang nama Islam di dalam parti tersebut kerana PAS melakukan perkara yang bertentangan dengan Islam.

Adakah dengan Konsep Negara Berkebajikan, bersahabat dengan DAP dan PKR boleh dianggap bertentangan dengan Islam? Adakah bersubahat dengan Umno yang menjadi sekutu Apco serta terus mengekalkan kezaliman dan penindasan terhadap rakyat, menyalahgunakan kuasa, mempertahankan kroni dan banyak lagi dasar Umno yang bertentangan dengan moral, akhlak serta Islam itu boleh dianggap bersesuaian dengan Islam?

Nampaknya Umno semakin tidak menentu apabila PAS kini membuka lebih luas ruang untuk rakyat menerima perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Jika sebelum ini Umno terlalu gilakan DNA atau sumpah laknat DS Anwar, kini Umno mula tergila-gilakan `Negara Islam dan Hukum Hudud' pula. Setiap hari media pencacai mereka menyebut tentang Negara Islam yang kununnya telah ditinggalkan oleh PAS. Jika benar ikhlas, kuasa kini berada di tangan mereka, Nah, laksanakan lah jika benar-benar ikhlas.

Sehingga saya selesai menulis artikel ini, saya masih belum mendapat jawapan mengapa pemimpin Umno terlalu benci kepada nama `Islam' tetapi mahu kepada Negara Islam. Mungkinkah tahap meroyan Umno kini semakin kritikal?

Nik Aziz tarik balik saman, selesai luar mahkamah

 

 

12 Rejab 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 14 Jun: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menarik balik saman terhadap Utusan Malaysia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah.

Setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan, ia berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan sebagai merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia dan Sinar Harian hari ini.

Berikut penjelasan beliau.

Saya merujuk kepada laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini 14 Jun 2011 di halaman 20 di bawah tajuk 'Kes Nik Aziz Saman Utusan RM20j Selesai Luar Mahkamah'.

Laporan yang sama juga disiarkan oleh Sinar Harian hari ini di halaman N4.

Sukalah saya mengesahkan laporan tersebut dengan sedikit penambahan berdasarkan kronologi berikut:

Pada 12 Jun 2009, Utusan Malaysia telah menyiarkan satu artikel dengan petikannya di muka hadapan di bawah tajuk “Nasihat Saya Mesti Didengar” dengan beberapa isi kandungan yang memfitnah YAB Tuan Guru Dato Menteri Besar Kelantan.

Antaranya menyebut, “Namun begitu, beliau mengingatkan bahawa nasihatnya itu mesti didengar kerana mempunyai hujah jelas untuk menangkis cadangan yang dianggapnya sebelum ini sebagai ‘ilham’ UMNO.”

Artikel tersebut mengundang kepada beberapa pandangan balas yang mengecam YAB Tuan Guru, antaranya ialah seperti yang tersiar di dalam akhbar yang sama di muka surat 12 bertarikh 16 Jun 2009. Artikel yang ditulis oleh Ramli Abdul Halim itu mengecam YAB Tuan Guru dengan mendakwa tindakan tersebut bercanggah dengan Islam.

YAB Tuan Guru telah menafikan kenyataan yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 12 Jun 2009 dan penafian ini disiarkan oleh akhbar yang sama di muka surat dua pada 18 Jun 2009.

Setelah melalui proses rundingan di antara kedua-dua pihak bersama dengan peguam yang dilantik, Utusan Malaysia telah memohon maaf kepada pihak YAB Tuan Guru di atas laporan yang salah tersebut dan permohonan maaf ini disiarkan di muka hadapan Utusan Malaysia 29 Julai 2009.

Memandangkan laporan tersebut yang dianggap begitu tersasar dan mendatangkan kesan khususnya kepada keputusan pilihanraya kecil Dun Manek Urai, pihak YAB Tuan Guru tetap meneruskan usaha untuk memfailkan saman sebanyak RM20 juta ke atas Utusan Malaysia.

Kes ini dijadualkan mula dibicara pada 12 Jun 2011 di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Pada 10 Jun 2011, pihak Utusan Malaysia melalui peguam yang dilantik telah menghantar notis tawaran penyelesaian di luar mahkamah dengan sejumlah bayaran ganti rugi kepada pihak YAB Tuan Guru.

Justeru pada prosiding mahkamah yang bermula pada 13 Jun 2011, berasaskan kepada notis yang dihantar tersebut, YAB Tuan Guru telah berbesar hati untuk menarik balik saman dengan sejumlah bayaran yang ditawarkan oleh pihak defendan.

Justeru, sukalah saya mengulangi sekali lagi bahawa apa yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada hari ini 14 Jun 2011 iaitu YAB Tuan Guru telah menarik balik saman RM20j adalah benar namun perlu disebut bahawa ia dilakukan berdasarkan tawaran penyelesaian di luar mahkamah oleh pihak defendan berdasarkan sejumlah bayaran yang tertentu