Sunday, February 27, 2011

Salahkah Pas ubah nada perjuangannya?

 

22 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Ahmad Baei Jaafar

Sewaktu isu PAS mahu utamakan orang Melayu dimainkan media arus perdana, ramai yang bertanya kepada saya tentang pendirian Pas itu. Saya tidak berminat untuk mengulas isu itu kerana tidak tahu isu sebenar. Pada fikiran saya, sesuatu isu yang dimainkan oleh media perdana mengenai parti pembangkang, belum boleh dibuat pegangan. Mungkin ada udang di sebalik batu.

Hal ini berdasarkan pengalaman lampau. Yalah, kalau perkara itu betul dan menguntungkan parti pembangkang, buat apa disiarkan secara meluas. Mereka tentu sudah tahu, isu yang akan dimainkan itu boleh membawa kepada kemerosotan keyakinan orang Melayu kepada Pas. Tetapi mereka mungkin lupa, orang Melayu zaman sekarang bukan seperti orang Melayu zaman penjajah dahulu.

Walaupun saya tidak mahu mengulas secara rasmi, tetapi di dalam hati terdetik juga beberapa persoalan; salahkah pas menukar nada?; benarkah pas menukar nada?; betulkah tukar nada kerana kemerosotan pengundi Melayu?

Dalam mencari jawapan itu, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli, seperti yang disiarkan dalam Melaysiakini, menyebut petikan teks asal ucapan Nik Aziz yang antara lain menyebut: “Bagi PAS, Melayu perlu diutamakan dalam agenda dakwah pada hari ini kerana mereka merupakan bangsa yang terdahulu menerima Islam di Tanah Melayu ini".

Katanya lagi, akhbar Mingguan Malaysia sengaja membuat isu dengan membuang dan menambah perkataan dalam ayat di atas. Akhbar itu menyebut: "Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu." Dibuangkan agenda dakwah dan digantikan dengan perjuangan.

Ucapan Nik Aziz Nik Mat tersebut adalah ketika merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) baru-baru ini.

Dengan petikan ini, tidak salah lagi media perdana itu tersilap strategi dalam membuat laporan. Malah laporannya tidak menggugat keyakinan orang Pas terhadap partinya. Sebaliknya, orang Melayu yang di atas pagar pula hilang keyakinan kepada media perdana itu.

Walau bagaimanapun dalam mencari jawapan di atas, saya baru temuinya dan jawapan pada soalan tersebut adalah:

Secara ringkasnya saya berani tegaskan, memang tidak salah sesuatu parti itu menukar nada. Malah memang wajar kena tugar nada sesuai dengan perubahan zaman. Tidak mungkin sewaktu kanak-kanak nadanya sama dengan waktu dewasa dan tua. Dalam perjuangan mesti ada strategi yang perlu diubah.

Tetapi kalau nada itu dimaksudkan sebagai dasar, saya dapati tidak ada yang berubah lagi. Adapun “Mengutamakan Melayu” bukan dasar baru. Mungkin dalam perlembagaan tidak disebut Melayu, tetapi meletakkan perjuangan Islam tentulah merujuk kepada Melayu kerana waktu itu orang Islam adalah orang Melayu. Orang Cina dan India Islam masih belum ramai.

Akhirnya, pertukaran nada itu langsung tiada kaitan dengan kemerosotan undian orang Melayu kerana sokongan orang Melayu masih sama. Orang yang mahu perjuangan Melayu tetap berpihak kepada Umno, dan orang Melayu yang mahu perjaungan Islam tetap berada di pihak PAS. Yang berubah hanya orang yang di atas pagar.

Jadi, orang Melayu di atas pagar ini perlu diberi perhatian oleh pejuang-pejuang parti. Berikan perhatian serius kepada mereka dengan menjelaskan kepada mereka, mana lebih baik Melayu atau Islam. Alangkah baiknya kalau mereka menjadi orang Melayu Islam yang benar-benar takut kepada Allah.

Ulasan Cina Islam :

Satu pandangan yang baik dari Ust. Baei. Apapun saya kira UMNO cuba mengambil peluang untuk menunjukkan dialah jaguh sebenarnya kepada orang Melayu, namun realitinya dialah pengkhinat sebenar kepada agama Islam dan bangsa Melayu

Friday, February 25, 2011

Isteri makin kecewa, suami masih berdrama !

21 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
IPOH 23 Feb. - "Hanya saya, dia dan keluarga kedua-dua belah pihak yang tahu perkara sebenar. Biarlah apa yang dia mahu katakan sedangkan Allah yang lebih mengetahui."

Itu luahan isteri kepada juruteknik yang mendakwa ditetak menggunakan pisau pemotong daging dalam kejadian yang berlaku di rumah mereka di Taman Pinji Ria, Pengkalan dekat sini pada Jumaat lalu.

Dalam nada sebak, wanita yang tidak mahu identitinya didedahkan memberitahu, dia mendapat sokongan penuh daripada keluarga mertua untuk tampil membersihkan kembali namanya yang tercemar akibat tuduhan suaminya.

Namun katanya, dia masih belum bersedia untuk tampil menceritakan hal sebenar dan meminta diberikan masa untuk menenangkan fikiran.

Wanita yang berusia 24 tahun itu juga memberitahu, dia kini berada di sebuah kampung dan telah diberikan cuti oleh majikannya bermula semalam sehingga Ahad depan.

"Saya belum bersedia namun saya akan ceritakan semuanya apabila sampai masanya. Saya minta beri saya ruang untuk menenangkan fikiran dahulu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini sebelum talian diputuskan dan dia gagal dihubungi kemudiannya.

Semalam, Ahmad Khusairi Abdul Rahim, 31, mendakwa dia dicederakan oleh isterinya yang merupakan seorang jururawat di sebuah hospital di sini dengan menggunakan pisau pemotong daging akibat sikap cemburu melampau wanita itu.

Akibat kecederaan itu, juruteknik di Jabatan Kerja Raya (JKR) itu, terpaksa menerima 15 jahitan dan putus tiga urat lengan kiri sebelum dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk menerima rawatan.

Wanita itu yang enggan mendedahkan lokasinya berkata, dia akan tampil bersama bukti-bukti bagi memberitahu semua pihak bahawa dia tidak bersalah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias ketika dihubungi berkata, pihak polis masih lagi menunggu untuk mendapatkan kenyataan lanjut daripada kedua-dua pihak bagi melengkapkan siasatan.

Beliau berkata, ia berikutan kenyataan Ahmad Khusairi di akhbar yang masih sayangkan isterinya sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kedua-dua belah pihak tersebut ingin meneruskan kes berkenaan.

"Kadangkala ada kes yang melibatkan masalah rumah tangga sebegini, ia hanya dilaporkan kepada polis sebagai amaran kepada pasangan masing-masing," katanya.

Namun begitu, beliau mengesahkan tiada sebarang tangkapan dibuat setakat ini

Monday, February 21, 2011

Tangan penarik kereta hampir putus ditetak

 


18 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Seorang penarik kereta hampir putus tangan kirinya selepas ditetak dengan sebilah pedang di Kampung Tok Jiring di Kuala Terengganu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K Manoharan berkata tangan mangsa ditetak pemilik sebuah kereta yang cuba ditarik dalam kejadian kira-kira pukul 4.20 petang.

Beliau berkata dalam kejadian itu, penarik kereta yang berusia 48 tahun bersama empat lagi rakannya pergi ke rumah seorang pemilik kenderaan yang gagal membayar ansuran selama lima bulan.

"Berdasarkan laporan polis yang dibuat rakan mangsa, penarik kereta itu bersama seorang lagi rakannya menyerahkan surat kebenaran daripada pihak bank untuk menarik kereta tersebut kepada suspek.

"Namun sebaik sahaja membaca surat itu, suspek masuk ke dalam rumah sebelum keluar semula dengan membawa sebilah pedang dan terus menetak mangsa," katanya kepada pemberita hari ini.

Manoharan berkata mangsa yang cedera parah di tangan kirinya itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah dan dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan untuk menyabung bahagian tangan yang hampir putus itu.

Katanya suspek berusia 42 tahun yang berasal dari Besut telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu kira-kira pukul 9 malam semalam membuat laporan dia diserang oleh penarik kereta tersebut.

Lelaki itu kini direman selama empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata

Wednesday, February 16, 2011

10 Individu Terkaya Di Dunia.

   

No. 1--- Carlos Slim Helu & Keluarga

Nilai Kekayaan : USD 53.5 bilion ( RM 169.06 bilion )
Sumber kekayaan : Telekomunikasi
Umur : 70 Tahun
Warganegara : Mexico


No. 2 --- William Gates III

Kekayaan : USD 53 bilion ( RM 167.48 bilion )
Sumber pendapatan : Microsoft
Umur : 54 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No 3 --- Warren Buffett

Jumlah kekayaan : USD 47 bilion ( RM 148.52 bilion )
Sumber kekayaan : Berkshire Hathaway (Pelaburan)
Umur : 79 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No. 4 --- Mukesh Ambani

Jumlah kekayaan : USD 29 bilion ( RM 91.64 bilion )
Sumber kekayaan : Petrokimia, minyak & gas
Umur : 52 tahun
Warganegara : India

No. 5 --- Lakshmi Mittal

Jumlah kekayaan : USD 28.7 bilion ( RM 90.692 )
Sumber kekayaan : Baja
Umur : 59
Warganegara : India

No. 6 --- Lawrence Ellison

Jumlah kekayaan : USD 28 bilion ( RM 88.48 bilion )
Sumber kekayaan : Oracle
Umur : 65 tahun
Warganegara : Amerika Syarikat

No. 7 --- Bernard Arnault

Jumlah kekayaan : USD 27.5 bilion ( RM 86.9 bilion )
Sumber kekayaan : LVMH (Louis Vutton)
Umur : 61 tahun
Warganegara : Perancis

No. 8 --- Eike Batista

Jumlah kekayaan : USD 27 bilion ( RM 85.32 bilion )
Sumber kekayaan : Perlombongan, Minyak
Umur : 53
Warganegara : Brazil

No. 9 --- Amancio Ortega

Jumlah kekayaan : USD 25 bilion ( RM 79 bilion )
Sumber kekayaan : Zara ( Fashion, Pelaburan )
Umur : 74
warganegara : Sepanyol

No. 10 --- Karl Albrecht

Jumlah kekayaan : USD 23.5 bilion (RM 51.7 Bilion)
Sumber kekayaan : Aldi (peruncitan)
Umur : 90 tahun
Warganegara : Jerman

Doktor: Tiada bukti kemasukan pada dubur Saiful



13 Rabiul Awal 1432 H.

KUALA LUMPUR 16 Feb: Ketua unit kemalangan dan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Khairul Nizam Hassan hari ini mengaku tidak menemui bukti wujudnya kemasukan pada dubur Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Beliau memberitahu demikian ketika menjawab soalanp eguambela Karpal Singh dalam perbicaraan kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim di mahkamah hari ini, lapor TV Selangor.

Dr Khairul Nizam merupakan individu yang bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful yang juga pengadu kes tersebut.

Beliau mengaku tidak mengisi borang pro-forma mengenai bukti fizikal seperti kekoyakan otot serta lebam di bahagian dubur seperti yang biasa dilakukan ketika ujian liwat.

Beliau juga turut mempertahankan bahawa Saiful tidak menyatakan sama ada percubaan meliwat atau percubaan mengadakan seks oral tetapi borang pro-forma menyatakan sebaliknya.

Menurut Khairul konklusi laporan pro-forma hanya dibuat berdasarkan laporan jabatan forensik dan soalan dalam dokumen itui diisi oleh seorang lagi doktor HKL, Dr Siew Shueu Feng.

Dalam keterangannya pada Isnin lalu, Dr Khairul Nizam memberitahu mahkamah bahawa beliau telah mengambil sampel daripada mulut Saiful kerana pemuda itu mendakwa telah dipaksa melakukan seks oral.

Polis tahan lelaki rakyat Singapura, rampas dadah bernilai RM60,000


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
JOHOR BAHARU: Polis menahan seorang lelaki rakyat Singapura dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM60,000 dalam serbuan di sebuah rumah yang dijadikan makmal memproses dadah di Taman Sentosa, di sini, tiga hari lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh berkata, lelaki berumur 41 tahun itu ditahan kira-kira 6.50 petang dan dipercayai terbabit dengan kegiatan memproses dan mengedar dadah di sekitar bandar raya ini sejak enam bulan lalu.

"Kesemua dadah yang dirampas membabitkan 1.8 kilogram ketamin, 71 biji pil ecstasy dan lima biji pil Eramin 5. Pemeriksaan mendapati salah sebuah bilik di dalam rumah itu dijadikan makmal kecil memproses dadah," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Polis turut merampas pelbagai peralatan memproses dadah dan menyita dua kereta mewah milik lelaki berkenaan yang dipercayai digunakan dalam aktiviti pengedaran dadah, katanya.

Beliau berkata lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah dan dia kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengedar dadah.

Dalam pada itu, Abdul Samad berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di kawasan perumahan yang sama, pada 7 malam, hari yang sama.

Beliau berkata, polis menemui 60 gram syabu, empat biji pil ecstasy dan 1.1 gram ketamin yang kesemuanya bernilai RM20,000 di dalam rumah lelaki berumur 34 tahun itu.

"Suspek disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah di bandar raya ini sejak setahun lepas dan dia turut akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.-Bernama

Saturday, February 5, 2011

Kelantan,Selangor Kedah buka bilik operasi Mesir

SHAH ALAM, 5 Feb: Kerajaan Negeri Selangor tetap mengambil berat semua kepentingan seluruh pelajar negeri itu yang sedang berada di bumi Mesir, tegas Exco Agama Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.

"Setakat ini, yang saya tahu, hanya Kelantan, Kedah dan Selangor sahaja yang membuka bilik operasi seperti ini, negeri lain belum dengar berita lagi," jelasnya.

Menurutnya, dalam hal membantu dan menjaga kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri mengutamakan semua pelajar dan sama sekali tidak menilai mengikut kategori pelajar itu sama ada tajaan kerajaan atau swasta.

Dr Hasan berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai kegelisahan ibu bapa yang hadir dalam Dialog Isu Pelajar Selangor di Mesir yang diadakan malam tadi di Masjid Negeri, dekat sini.

Solat hajat diadakan dua kali selepas Solat Maghrib dan selepas Solat Isyak untuk memohon ke Hadrat Allah SWT agar memberikan Rahmat-Nya dengan menguat dan menyelamatkan bakal-bakal ulamak yang pulang nanti akan berjuang menegakkan islam di negara ini.

Setelah solat hajat pertama, semua hadirin mendengar kupasan sirah dan huraian sejarah khusus tentang pembukaan dan perjuangan rakyat Negara Mesir dari dahulu dan iktibarnya untuk masa kini.

Kuliah tersebut disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut berucap dalam dialog adalah Penasihat Sekretariat Bilik Gerakan Operasi Pelajar Selangor di Mesir, Ustaz Farizan Subhi dan Timbalan Presiden Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Malaysia, Ustaz Farhan Mazlan  dengan Ustazah Fitri Nur Ain Nordin sebagai moderator.

Dalam majlis itu, pihak sekretariat memberi jaminan akan menguruskan isu ini sebaik mungkin dengan memberikan maklumat terperinci kepada semua waris yang memerlukan termasuk bila dan nombor penerbangan anak-anak mereka.

Untuk ibu bapa, terdapat dua kaedah aduan iaitu dengan menghubungi nombor hotline berikut: 03-5514 3520, 03-5514 3534, 03-5514 3538, 03-5514 3539 atau 03-5514 3576, mereka juga boleh melayari laman http://ilmam-prihatin.blogspot.com

Kaedah kedua, mereka boleh datang terus bertemu pegawai bertugas 24 jam di Bilik Gerakan Operasi Pelajar Selangor di Mesir yang terletak di Bangunan JAIS, dekat sini dengan menyatakan butir peribadi termasuk nombor pelajar di Mesir dan universiti berkaitan.

Menurut Ustaz Farihan, kebanyakan maklumat tentang keselamatan 1,285 pelajar Selangor di sana sudah berada dalam kumpulan data mereka dan mempunyai hubungan rapat dan segera dengan Wisma Putra, kedutaan dan PMRAM.

Malam tadi, sebelum dan sebaik tamat majlis, ibu bapa dan waris pelajar terus mendapatkan status anak-anak mereka yang disediakan oleh pihak sekretariat dan kebanyakan mereka berasa lega dengan tindakan segera kerjasama pihak Kerajaan Negeri.

Sementara itu dalam ucapannya, Dr Hasan menyanjung tinggi usaha dan kesanggupan sekretariat bertungkus lumus menyumbangkan tenaga 24 jam sejak beberapa hari lalu bagi mengatasi kegelisahan perasaan semua pihak terbabit.

Wednesday, February 2, 2011

Banjir: Lebih 45,000 dipindah, teramai di Johor

Mangsa banjir di Johor menunjukkan berkurangan kepada 40,443 orang daripada 9,809 keluarga yang kini berada di 244 pusat pemindahan sehingga jam 2 petang ini.

Pagi tadi, lebih 45,000 mangsa daripada 11,104 keluarga berada di 267 pusat pemindahan.

Menurut laporan portal rasmi kerajaan negeri Johor www.johordt.gov.my, mangsa teramai adalah di daerah Segamat iaitu 19,489 orang membabitkan 4,689 keluarga, diikuti Kluang dengan 7,680 orang daripada 2,044 keluarga.

Portal itu melaporkan seramai 95 mangsa daripada 25 keluarga dipindahkan di Johor Baharu, 2,374 orang (541 keluarga) di Muar, 2,757 orang (620 keluarga) di Batu Pahat dan 600 orang daripada 139 keluarga di Pontian.

Kota Tinggi pula mencatatkan 1,781 mangsa melibatkan 412 keluarga, Mersing (99 orang daripada 31 keluarga), Ledang (5,305 orang daripada 1,224 keluarga) dan Kulaijaya merekodkan 263 mangsa daripada 84 keluarga.

Menurut laporan portal itu, daripada 244 pusat pemindahan, 89 adalah di Segamat, Kluang (39), Johor Baharu (3), Muar (22), Batu Pahat (28), Pontian (10), Kota Tinggi (19), Mersing (1), Ledang (29) dan Kulaijaya (4).

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

Sementara itu, jalan yang masih ditutup di Segamat membabitkan Batu 8 di Jalan Muar-Segamat, jambatan Sungai Penarah di Km 63 Jalan Muar-Segamat, Km 196 Jalan Johor Baharu-Seremban (Batu 8, Sungai Merlimau) dan jalan masuk ke Felda Redong akibat jambatan runtuh.

Jalan yang ditutup di Kluang membabitkan Km 79 hingga Km 81 Jalan Kluang-Mersing dan Km 75 Jalan Kluang-Jemaluang.

Sehingga kini dua kematian dilaporkan membabitkan dua wanita dalam kejadian di Segamat dan Kulaijaya pada Ahad lepas.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir di tiga daerah di Melaka yang ditempatkan di 20 pusat pemindahan meningkat kepada 4,101 orang sehingga pukul 7 malam ini berbanding 3,396 orang pada tengahari tadi.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata mangsa banjir di Melaka kini paling ramai ditempatkan di daerah Melaka Tengah, meningkat kepada 2,114 di lapan pusat pemindahan berbanding hanya 49 orang dan sebuah pusat pemindahan semalam.

Keadaan banjir di daerah Jasin pula mulai surut dengan jumlah mangsa yang ditempatkan di lima pusat pemindahan ialah seramai 419 orang.

Di Alor Gajah, banjir juga semakin surut dengan bilangan mangsa yang masih berada di tujuh pusat pemindahan ialah seramai 1,568 orang.

Mangsa banjir di Jasin dan Alor Gajah mula ditempatkan di pusat pemindahan sejak Ahad lepas manakala di Melaka Tengah, mangsa berpindah sejak semalam.

Cuaca cerah dilaporkan di seluruh negeri ini hari ini dan dijangka keadaan banjir akan bertambah baik di Alor Gajah dan Jasin, kata jurucakap itu lagi.

Di Jasin, jumlah mangsa yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan ialah 1,254 orang daripada 309 keluarga manakala di daerah Melaka Tengah melibatkan 1,128 orang daripada 258 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini.

Cuaca dilaporkan cerah dan tiada hujan dilaporkan pada sebelah pagi ini di seluruh negeri ini.

Jurucakap itu berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan sejak pukul 9 malam tadi hingga 8 pagi ini.

Beliau berkata bantuan seperti makanan dan minuman telah dihantar ke pusat pemindahan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala agensi lain seperti tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam pemindahan mangsa banjir.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam melawat mangsa banjir di pusat-pusat pemindahan tersebut bagi memastikan keperluan mereka mencukupi.

Jalan raya yang ditutup kepada semua kenderaan hanya di jalan Taman Merdeka, jalan Angkasa Nuri dan jalan Pasar Borong, yang kesemuanya terletak di Batu Berendam.

Di Labis, Sehari selepas pulang daripada lawatan rasmi ke Abu Dhabi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan di Johor.

Perdana Menteri yang tiba di Labis tengah hari ini berkata, berdasarkan daripada taklimat yang diterimanya tentang keadaan terkini banjir di Johor, beliau diberitahu keadaan terburuk bagi bencana banjir di negeri ini telah
berlalu.

"Berdasarkan kepada taklimat, nampaknya (keadaan terburuk banjir di Johor telah berlalu), tetapi kita mesti berjaga-jaga. Keadaan cuaca terlibat, fenomena (cuaca) yang luar biasa itu telah beralih ke kawasan lain, ke arah selatan di kawasan perairan."

"Bagaimanapun, kita perlu sentiasa berhati-hati kerana perubahan cuaca boleh menyebabkan banjir," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas, di sini.

Cuaca panas terik dan cerah di Johor sejak pagi memberi peluang kepada mangsa-mangsa banjir di negeri ini pulang ke rumah masing-masing, walaupun lebih daripada 40,000 mangsa masih ditempat di pusat-pusat pemindahan seluruh negeri.

Menurut Perdana Menteri, bencana banjir yang melanda Johor disebabkan fenomena cuaca yang luar biasa di mana jumlah hujan yang diterima negeri itu dalam sehari bersamaan dengan jumlah diterimanya dalam dua bulan.

"Ia adalah suatu fenomena cuaca yang luar biasa, di mana jumlah hujan yang turun itu tidak dapat diduga," katanya sambil menambah, fenomena luar biasa itu disebabkan oleh faktor pemanasan iklim dunia.

Ditanya mengenai persediaan di dalam menangani bencana banjir di Johor, Najib berkata, beliau amat berpuas hati dengan tindakan pantas kerajaan negeri dan agensi kerajaan pusat membantu memindahkan mangsa-mangsa banjir.

Katanya tindakan pantas operasi membantu mangsa banjir di Johor itu merupakan hasil kerjasama erat yang sedia terjalin di antara kerajaan negeri dan pusat.

Usaha membantu mangsa-mangsa banjir itu termasuk, memastikan bekalan makanan yang mencukupi, selimut, tikar serta bekalan perubatan dan rawatan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

Hasil tinjauannya di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, Najib berkata, mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan menikmati makanan segar seperti ikan, ayam dan daging.

Mengenai bantuan wang ehsan kepada mangsa banjir di Johor, beliau berkata, ia akan diberikan kepada mangsa selepas ini bagi membantu mereka yang memerlukannya.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan menentukan kadar wang ehsan itu mengikut formula yang telah ditentukan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula berkata, sebanyak 20 platun anggota tentera berserta aset dan kelengkapan mereka telah dikerah bagi memberi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir negeri Johor.

Dalam lawatan ke pusat pemindahan banjir di Dewan Kampung Ayer Panas itu, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor, turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) kepada mangsa-mangsa banjir di Johor

ElBaradei tak berhasrat jadi Presiden

 


PARA ulama (berserban) menyertai ribuan rakyat Mesir berkumpul di Dataran Tahrir, Kaherah, semalam. – AFP


KAHERAH 1 Feb. – Reformis Mesir, Mohamed ElBaradei hari ini berkata, beliau tidak berhasrat menjadi Presiden Mesir tetapi sedia mengetuai kerajaan sementara sehingga pilihan raya dilaksanakan sekiranya itu yang dimahukan rakyat.
“Sekiranya rakyat sebulat suara mahu saya mengetuai kerajaan sementara, saya sedia melakukannya,” kata aktivis demokrasi itu kepada akhbar Britain, The Independent hari ini.
Elbaradei yang muncul sebagai tokoh pemimpin pembangkang utama Mesir turut mengulangi desakan supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan jika mahu selamat.
“Apabila sesuatu rejim mengundurkan polis dari jalan-jalan, apabila pasukan polis dicemari samseng, cuba memberi gambaran bahawa tanpa Mubarak negara akan bergolak, ini adalah satu tindakan jenayah. Seseorang perlu bertanggungjawab.
“Orang ramai kini bukan sahaja menuntut pengunduran Mubarak. Mereka mahu beliau dibicarakan. Sekiranya beliau mahu selamat, Mubarak perlu berundur menjelang hari Jumaat ini,” katanya.
Sementara itu, Parti pembangkang utama Mesir, Ikhwanul Muslimin menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada perjuangan ElBaradei dan menyokong pemimpin pembangkang itu bagi mengetuai kerajaan perpaduan Mesir.
Parti tersebut menerusi kenyataan yang dibuat di laman webnya hari ini berkata, ia juga tidak mahukan jawatan kepimpinan dalam kerajaan baru nanti, sebaliknya hanya akan memberi sokongan kepada kepimpinan akan datang.
“Kemahuan kami adalah kehendak rakyat. Kita perlukan satu rejim baru sekarang.
“Kami menghormati Elbaradei. Beliau adalah individu paling berpotensi untuk mencapai hasrat ini,” kata ketua cawangan Ikhwanul Muslimin di utara Kaherah, Helmi Gazzar.
Ikhwanul Muslimin dalam pada itu berkata, pihaknya kini sedang berbincang untuk menubuhkan satu jawatankuasa politik dengan Elbaradei bagi rundingan dengan pihak tentera.
Parti itu malam tadi turut menyeru tunjuk perasaan diteruskan di seluruh negara sehingga Mubarak tunduk kepada desakan meletak jawatan. – AFP/Agensi