Kikis tanggapan negatif terhadap Islam
JOHOR BAHRU 8 Dis. – Pelbagai isu dan masalah yang melanda umat Islam kini secara tidak langsung memberi kesan negatif terhadap imej agama suci itu.Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, walaupun ramai umat Islam yang berjaya tetapi ia kurang berjaya mengubah tanggapan atau persepsi buruk terhadap Islam.
“Memang semakin ramai individu Islam mencatat kejayaan secara peribadi atau sebaliknya sama ada dalam bidang ilmu, penerokaan, pembinaan, perniagaan dan sebagainya.
“Namun persoalannya, apakah keseluruhan umat Islam itu berada pada tahap yang kuat, hebat dan berpengaruh? Bagi mengubah persepsi itu umat Islam perlu gemilang dalam semua aspek dan lebih penting memiliki kemuliaan akhlak, patuh kepada undang-undang dan peraturan, kukuh ekonomi dan hidup teratur lagi sempurna,” katanya pada Majlis Multaqa’ Ulama Darul Takzim di Persada, di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Zainal Abdin Osman.
Abdul Ghani berkata, cabaran besar umat Islam kini adalah membangunkan ilmu pengetahuan daripada perspektif Islam membabitkan semua aspek kehidupan.
Menurutnya, kekuatan sesuatu bangsa atau negara bukan berdasarkan sumber kekayaan alam, bidang ketenteraan dan sektor pembuatan sebaliknya kekuatan ilmu dan teknologi.
“Ini yang berlaku sejak zaman kegemilangan tamadun Islam diikuti kebangkitan Eropah melalui revolusi industri yang akhirnya berkembang ke Asia dan rantau ini,” katanya.
Mengenai majlis itu, kata beliau, ia bertujuan melahirkan cendekiawan dan ulama yang berintegriti serta berkemampuan berhujah berdasar sumber dan ketinggian ilmu.
Menteri Besar berkata, bagi mengukuhkan barisan ulama dan umara yang boleh berdepan dengan isu semasa dengan mencari penyelesaian bersandarkan kehendak syarak dan keperluan masyarakat.
Majlis itu turut menyatupadukan ulama dan umara dalam memahami dan menghayati pegangan akidah ahli sunah wal jamaah yang bermazhab imam Shafie melalui muzakarah.
“Ia juga bertujuan memartabatkan institusi ulama dan umara sebagai rujukan masyarakat yang disegani dan dihormati,” katanya.
No comments:
Post a Comment